PERMOHONAN PENCALONAN BAGI DARJAH KEBESARAN, BINTANG DAN PINGAT WILAYAH PERSEKUTUAN (DKBPWP) TAHUN 2026
Pencalonan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan (DKBPWP) bagi tahun 2026 telah diTUTUP.
LATAR BELAKANG DARJAH KEBESARAN, BINTANG DAN PINGAT WILAYAH PERSEKUTUAN
Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan (DKBPWP) diwujudkan mulai tahun 2008 atas perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah.
Pencalonan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan ini dibuat berdasarkan kelayakan individu yang dicalonkan yang bertujuan untuk menghargai dan mengiktiraf sumbangan warga Wilayah Persekutuan yang banyak berjasa membangun dan memajukan Wilayah ini dalam pelbagai bidang, termasuk mereka yang bukan bermastautin tetapi turut memberi sumbangan dan khidmat kepada Wilayah Persekutuan.
Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan yang dikenali sebagai keluarga DARJAH YANG MULIA MAHKOTA WILAYAH terdiri daripada susunan keutamaan serta gelaran seperti berikut:
PENCALONAN SECARA ATAS TALIAN (ONLINE) DKBPWP TAHUN 2026
Permohonan awam secara terus tidak boleh dibuat bagi pencalonan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan (DKBPWP).
Prosiding DKBPWP hendaklah bersifat "pencalonan" dan pencalonan hanya boleh dibuat oleh Pencalon yang dilantik iaitu Ketua-Ketua Perkhidmatan atau Ketua Setiausaha Kementerian (untuk semua kategori pencalonan). Bagi maksud tersebut, Focal Point setiap Kementerian telah dilantik untuk urusan pencalonan dalam Sistem Anugerah DKBPWP.
Individu yang layak hendaklah dicalonkan oleh Pencalon yang mana jasa dan bakti individu tersebut adalah berkaitan dengan Kementerian atau Jabatan Pencalon dan hendaklah disesuaikan dengan sumbangan kepada Wilayah Persekutuan. Pengesahan jasa dan sumbangan hendaklah dibuat oleh Pencalon terhadap individu tersebut dan Pencalon mempunyai kuasa untuk meneruskan atau membatalkan pencalonan terhadap individu tersebut dengan berpandukan kepada kriteria yang telah ditetapkan.
Sekian, terima kasih.
URUS SETIA DKBPWP