Soalan Lazim

1. Apakah Sistem Anugerah DKBPWP?

Sistem Anugerah DKBPWP adalah singkatan untuk Sistem Anugerah Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan. Sistem ini merupakan gerbang utama pendaftaran pencalonan serta sumber informasi DKBPWP melalui capaian internet.

2. Apakah maksud singkatan DKBPWP?

Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan.

3. Bilakah pencalonan akan mula dibuka?

Pencalonan lazimnya dibuka mulai bulan Julai sehingga penghujung bulan Ogos pada setiap tahun. Hebahan akan dibuat melalui Portal Jabatan Wilayah Persekutuan (www.jwp.gov.my).

4. Berapa lama tempoh pencalonan boleh dibuat?

Tempoh pencalonan adalah selama dua (2) bulan. Tarikh tutup pencalonan akan dimaklumkan oleh pihak Urus Setia DKBPWP melalui Sistem Anugerah DKBPWP.

5. Siapa yang boleh membuat pencalonan?

Prosiding DKBPWP hendaklah bersifat "pencalonan" dan pencalonan hanya boleh dibuat oleh Pencalon yang dilantik iaitu Ketua-Ketua Perkhidmatan atau Ketua Setiausaha Kementerian (untuk semua kategori pencalonan). Bagi maksud tersebut, Focal Point setiap Kementerian telah dilantik untuk urusan pencalonan dalam Sistem Anugerah DKBPWP. Maklumat lanjut boleh diperoleh dari Sistem Anugerah DKBPWP.

6. Siapakah yang layak untuk dicalonkan?

Kelayakan pencalonan adalah seperti dicatatkan dalam menu Kriteria Pencalonan yang boleh didapati di Sistem Anugerah DKBPWP.

7. Bilakah Tarikh Pengurniaan?

Pengurniaan DKBPWP oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bersempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan pada 1 Februari setiap tahun. Walau bagaimanapun, tarikh pengurniaan adalah tertakluk kepada perkenan Baginda.

8. Bagaimanakah cara untuk menghubungi Urus Setia DKBPWP?

Urus Setia DKBPWP boleh dihubungi melalui maklumat perhubungan di menu Hubungi Kami di Sistem Anugerah DKBPWP.

9. Bagaimana saya ingin tahu permohonan saya berjaya atau tidak?

Pihak Urus Setia akan menghantar surat tawaran kepada penerima-penerima yang berjaya. Penerima-penerima hendaklah merahsiakannya sehingga tarikh Istiadat berlangsung. Bagi calon yang tidak mendapat panggilan dari Urus setia sehingga tarikh 1 Februari bermakna pencalonan telah gagal.

10. Apabila telah membuat pencalonan dalam Sistem Anugerah DKBPWP perlukah menghantar borang yang dicetak?

Ya. Pengisian Borang Pencalonan secara atas talian (online) merupakan peringkat pertama yang perlu dilaksanakan oleh calon. Peringkat seterusnya, Borang Pencalonan yang telah lengkap perlu dicetak oleh Focal Point dan kemudiannya perlu mendapat pengesahan bagi perkara yang diwajibkan. Borang bercetak yang lengkap disahkan tersebut (Borang Asal) hendaklah dikemukakan secara serahan fizikal atau pos kepada Urus setia DKBPWP.

1. Saya berkhidmat dengan Kerajaan dalam masa yang sama saya terlibat dalam bidang politik. Oleh itu borang apa yang perlu diisi?

Bergantung kepada kategori yang hendak dicadangkan. Sekiranya pencalonan untuk pegawai Kerajaan perlu mengisi Borang A. Jika kategori politik perlu mengisi Borang G. Pencalonan hanya boleh dibuat untuk satu kategori sahaja.

2. Saya adalah seorang atlit dan hendak mengisi borang C. Adakah perlu saya mengisi kesemua kategori yang terdapat di dalam borang C?

Terdapat lima (5) kategori di bawah Borang C iaitu Swasta, Persatuan, Sukan, Sukarelawan dan Individu. Ia perlu diisi mengikut kategori yang dicadangkan oleh pencadang. Jika anda seorang Atlet maka anda hanya perlu mengisi Kategori Sukan sahaja.

3. Bagaimanakah jika saya tersalah mengisi kategori borang?

Pindaan masih boleh dibuat semasa tempoh pencalonan dibuka. Borang perlu diisi mengikut kategori yang betul. Misalnya jika anda seorang kakitangan Badan Berkanun dan telah mengisi Borang A maka anda perlu mengisi semula Borang B. Sekiranya pencalonan telah ditutup borang anda boleh ditolak dan tidak diproses kerana mempunyai data yang tidak tepat.

4. Bolehkah saya memohon pingat DKBPWP sekiranya saya pernah mendapat anugerah daripada DKBPWP pada tahun lepas?

Tidak boleh. Permohonan hanya boleh dibuat selepas 3 tahun kurniaan terdahulu. Sebagai contoh, sekiranya pernah dikurniakan DKBPWP pada tahun 2019, permohonan hanya boleh dibuat semula pada tahun 2023.

5. Sekiranya saya dilahirkan di luar negara dan bermastautin di Malaysia bolehkah saya memohon DKBPWP?

Sekiranya anda warganegara Malaysia anda boleh memohon mengikut kelayakan tetapi sekiranya bukan warganegara Malaysia anda boleh memohon dengan mengisi Borang D iaitu Warga Asing yang telah menyumbangkan jasa serta khidmat cemerlang di Wilayah Persekutuan.

6. Perlukah saya menghantar borang yang telah lengkap diisi ke Kementerian selepasa selesai mengisinya secara online?

Borang yang telah lengkap diisi secara atas talian perlu dicetak oleh Focal Point dan seterusnya dilengkapkan dan ditandatangani oleh Pencadang dan Penyokong (di mana berkaitan) sebelum dikemukakan kepada Urus Setia DKBPWP. Jika tidak borang yang telah dihantar melalui online tidak akan diproses.

7. Saya ingin tahu apakah kriteria-kriteria dalam pemilihan tersebut?

Sila merujuk kepada Kriteria Pencalonan dalam Sistem Anugerah DKBPWP.

8. Saya ingin tahu apakah tindakan pihak urus setia bagi memastikan calon yang dikemukakan bebas dari sebarang rekod jenayah?

Bagi memastikan calon yang dipilih benar-benar layak dan bebas dari sebarang rekod jenayah, kesemua calon akan dibuat tapisan keselamatan dan keutuhan melalui Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Insolvensi Malaysia.

1. Saya telah mendapat surat tawaran dari pihak urus setia tetapi saya tidak dapat menghadiri Majlis Istiadat tersebut disebabkan perkara penting yang tidak dapat dielakkan bolehkah saya menunda dan datang pada majlis istiadat tahun hadapan?

Istiadat Pengurniaan DKBPWP hanya dibuat dalam satu sesi sahaja bagi setiap tahun iaitu pada 1 Februari. Sekiranya tidak dapat menghadiri Majlis Istiadat pada tahun tersebut, penerima tidak boleh menunda untuk hadir ke majlis tahun hadapan. Pihak urus setia akan menghubungi penerima yang tidak dapat hadir selepas majlis istiadat untuk menyerahkan watikah dan komponen Darjah Kebesaran, Bintang atau Pingat yang ditawarkan.

2. Bolehkah saya mendapatkan senarai nama penerima yang berjaya dan tidak berjaya sebelum istiadat berlangsung?

Senarai nama penerima yang berjaya diklasifikasikan sebagai RAHSIA mengikut peruntukan Akta Rahsia Rasmi (Pindaan) 1986 sehingga ia diistiharkan pada hari Istiadat. Setelah Istiadat dizahirkan senarai penerima akan dipaparkan di Sistem Anugerah DKBPWP dan Portal Rasmi Kementerian Wilayah Persekutuan.

1. Saya adalah kakitangan Kerajaan yang berpakaian uniform. Pada hari raptai perlukah saya memakai uniform atau pakaian kebangsaan?

Rujuk Panduan Pakaian Istiadat dalam Sistem Anugerah DKBPWP.

2. Adakah pemakaian selendang untuk wanita perlu pada hari raptai dan hari sebenar?

Rujuk Panduan Pakaian Istiadat dalam Sistem Anugerah DKBPWP.

3. Bolehkah saya membawa pasangan pada hari raptai?

Tidak boleh. Raptai dikhususkan untuk yang dikurniakan sahaja (penerima) dan pasangan hanya boleh dibawa pada hari istiadat sebenar.

4. Selain dari Baju Kurung apakah jenis baju lain yang boleh dipakai pada hari raptai dan hari istiadat?

Bagi penerima / pasangan / tetamu wanita, selain Baju Kurung, Baju Kebaya Labuh turut boleh dipakai tetapi hendaklah labuh sehingga ke paras lutut. Kain bagi Baju Kebaya tidak dibenarkan terbelah sama ada di tepi ataupun di belakang. Bagi yang bukan berbangsa Melayu, boleh memakai pakaian kebangsaan masing-masing. Rujuk Panduan Pakaian Istiadat di dalam Sistem Anugerah DKBPWP untuk maklumat selanjutnya.

5. Saya adalah penerima berbangsa India. Bolehkah saya memakai sari semasa hari Istiadat?

Berpakaian sari dibenarkan tetapi hendaklah dengan berpakaian dalam yang mempunyai lengan dan menutup bahagian perut. Rujuk Panduan Pakaian Istiadat dalam Sistem Anugerah DKBPWP.

6. Sekiranya pasangan saya tidak dapat hadir bolehkah saya membawa orang lain untuk menggantikannya.

Boleh dengan syarat pengganti pasangan hendaklah berumur 18 tahun ke atas.

1. Saya seringkali melihat di surat khabar terdapat penerima yang memakai tengkolok. Bolehkah saya memakai tengkolok untuk menggantikan songkok?

Tidak boleh. Mengikut garis panduan tatacara berpakaian DKBPWP setiap penerima wajib memakai songkok baldu hitam tanpa lilitan.

2. Adakah kanak-kanak boleh dibawa sebagai pasangan?

Tidak boleh. Umur pasangan yang dibenarkan adalah 18 tahun ke atas.

3. Apakah warna yang dibenarkan untuk dipakai pada hari raptai dan hari istiadat?

Apa-apa warna kecuali Kuning Diraja dan Putih sedondon serta bercorak. Rujuk Panduan Pakaian Istiadat dalam Sistem Anugerah DKBPWP.

4. Apakah warna Baju Melayu dan songket yang boleh dipakai semasa hari istiadat?

Baju Melayu berwarna hitam dan songket hitam berbenang emas. Rujuk Panduan Pakaian Istiadat dalam Sistem Anugerah DKBPWP.

5. Saya pernah menerima beberapa pingat bolehkah saya memakai pingat-pingat tersebut pada hari istiadat?

Semasa hari istiadat, penerima tidak dibenarkan memakai lain-lain Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat yang telah diterima sebelum ini. Manakala, sebagai tetamu atau pasangan, pemakaian Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat adalah dibenarkan. Rujuk Panduan Pakaian Istiadat dalam Sistem Anugerah DKBPWP.

6. Bolehkah saya memakai batik semasa hari raptai?

Berpakaian Batik adalah tidak dibenarkan. Rujuk Panduan Pakaian Istiadat dalam Sistem Anugerah DKBPWP.

7. Saya tidak dapat hadir semasa Istiadat kerana bertugas di luar Negara. Boleh kah saya menghantar wakil iaitu isteri saya untuk menerima anugerah pada hari istiadat tersebut?

Wakil tidak dibenarkan untuk menghadiri istiadat berikutan Pengurniaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong hanya untuk penerima sahaja. Sekiranya tidak dapat hadir, penerima masih dikurniakan sebagai penerima DKBPWP. Urus Setia DKBPWP akan menghubungi penerima yang tidak dapat hadir selepas Istiadat untuk menyerahkan komponen darjah kurniaan dan watikah tanpa istiadat.

8. Bolehkah saya membawa kamera sewaktu menghadiri majlis istiadat?

Kamera tidak dibenarkan dibawa masuk ke dalam Bangunan Istana. (Contoh: Balairung Seri Dewan dan bilik-bilik yang lain). Jurukamera Rasmi disediakan oleh Kementerian dan segala urusan adalah di antara penerima dan jurukamera yang dilantik.

1. Bolehkah pesara kerajaan atau orang awam membuat tuntutan pakaian istiadat?

Rujuk Pekeliling Perbendaharaan WP 1.4 Kadar dan Syarat Tuntutan Elaun, Kemudahan dan Bayaran Kepada Pegawai Perkhidmatan Awam Kerana Menjalankan Tugas Rasmi (Tidak Termasuk Anggota Tentera dan Anggota Polis)

2. Saya adalah Orang Kurang Upaya (OKU). Bolehkah saya menggunakan kerusi roda dengan ditolak oleh pasangan saya semasa hari raptai dan semasa menghadap Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong?

Penggunaan kerusi roda yang dibantu oleh pasangan atau tetamu adalah dibenarkan semasa menghadiri Istiadat dan Raptai. Namun, ia perlu dimaklumkan terlebih dahulu kepada pihak Urus Setia DKBPWP.

3. Saya kakitangan Kerajaan bolehkah saya membuat tuntutan pakaian Istiadat?

Boleh. Rujuk Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 16 Tahun 2007.

4. Sekiranya saya Pegawai Perkhidmatan Awam bolehkah pasangan saya membuat tuntutan pakai Istiadat?

Boleh. Tuntutan boleh dibuat di Jabatan masing-masing. Rujuk Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 16 Tahun 2007.